Menu

1

0 Comment

1. Bursa Saham Kuala Lumpur Menepati Syariah.

Umumnya Syariat Islam merupakan satu undang-undang yang lengkap dan menyeluruh mencukupi semua aspek dan bidang. Daripada segi lain pula, oleh kerana undang-undang Islam ini adalah undang-undang ciptaan Allah s.w.t, maka ia tidak terbatas untuk satu-satu masa tertentu sahaja, atau untuk sementara waktu sahaja, tetapi ia sesuai untuk sepanjang zaman, di masa lalu, sekarang dan masa akan datang. (Sains Mu’amalah Islam di Malaysia m/s 22)
Pasaran Saham Islam (PSI) merujuk kepada sebuah pasaran sama ada berbentuk bursa saham ataupun pasaran atas kaunter di mana aktiviti-aktiviti syarikat saham yang terlibat dijalankan dengan cara yang tidak bercanggah dengan Syariah Islam. Dalam perkataan lain, PSI mengaplikasikan perundangan Islam dalam urusniaga pasaran saham di mana pasaran adalah bebas daripada penglibatan aktiviti yang dilarang oleh Islam serta bebas daripada unsur-unsur seperti riba, perjudian dan kesamaran. Dalam pasaran saham Islam di Malaysia, saham-saham yang diniagakan dikenali juga dengan nama kaunter-kaunter lulus syariah. Kaunter- kaunter ini dikawal selia sepenuhnya oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti melalui Majlis Penasihat Syariah (MPS) yang dibentuk bagi memastikan ia (aktiviti perniagaan) bersesuaian dengan kehendak syariah. Di samping itu, transaksi jual beli saham Islam juga haruslah bebas dari amalan/aktiviti yang tidak dibenarkan dalam Islam seperti jualan singkat, manipulasi pasaran, dagangan orang dalaman, dagangan kontra, dagangan margin dan lain-lain aktiviti. Semua aktiviti jual beli saham ini dilakukan di Bursa Malaysia. (Analisis perkembangan Bursa Malaysia Pasaran Saham Islam di Malaysia m/s 66)
Statistik perkembangan Bursa Malaysia ini secara tidak langsung dapat menggambarkan prestasi saham-saham yang tersenarai di Bursa Malaysia. Pasaran saham di Malaysia ini umumnya terdiri daripada dua jenis iaitu pasaran saham Islam dan pasaran saham konvensional. Perbezaan antara kedua-duanya ialah pasaran saham Islam didasari dengan prinsip syariah manakala pasaran saham konvensional adalah sebaliknya. (Analisis perkembangan Bursa Malaysia Pasaran Saham Islam di Malaysia m/s 69)